By Awang Selamat..Che Daisy ambil keratan akhbar Utusan Malaysia untuk kita kongsi bersama info yang di beri.
BEBERAPA tahun lalu, seorang lelaki kaya di Malaysia membina rumah percutian besar di sebuah tanah tinggi di Pahang.
Bagaimanapun, kerana kesibukan dan bagi memastikan kemewahan hidupnya tidak menjadi satu skandal, dia jarang sekali bercuti di rumah itu yang kawasannya disaliri jeram yang cantik. Rumah itu kini agak terbiar.
Ada seorang lelaki terkenal lain pula memilih menggunakan kekayaannya untuk jalan yang lebih bermanfaat.
Dia gemar mengumpul buku, terutama judul-judul yang berkaitan dengan sejarah negara. Tidak lama dulu, dia dikatakan membelanjakan RM3 juta untuk membeli satu kontena buku yang kemudian dimuatkan dalam perpustakaannya.
Industri buku sebenarnya sedang berdepan dengan cabaran yang amat hebat. Lelaki terkenal yang membelanjakan RM3 juta untuk membeli buku itu mungkin seorang dalam 100 juta manusia. Yang ramai ialah kategori orang kaya pertama, yang mungkin mengutamakan rumah besar lebih daripada kekayaan ilmu dan mindanya.
Ada ramai rakyat Malaysia, misalnya, sanggup membeli telefon bimbit berharga RM3,000 sebuah, tetapi mereka tidak akan sekali-kali berbelanja RM1,000 setahun untuk buku-buku walaupun ia diberi pengecualian cukai oleh kerajaan. Itulah nasib buku.
Di Amerika Syarikat beberapa hari lalu, industri buku yang suram, yang margin keuntungannya kian kecil, akhirnya memasuki terowong bisnes yang semakin malap dan gelap.
Borders, sebuah rangkaian kedai buku global yang mempunyai 642 buah kedai di Amerika Syarikat sahaja, telah memfailkan notis perlindungan kebankrapan kerana tidak sanggup lagi menanggung hutangnya yang dilaporkan berjumlah AS$1.29 bilion (RM3.87 bilion).
Pada tahun 2009, bisnes Borders yang menjual buku-buku bahasa Inggeris sudah pun menghadapi masalah di United Kingdom, dan selepas dua tahun, krisis itu kini berjangkit ke Amerika Syarikat dan rangkaian Borders di seluruh dunia.
Sebagai sebahagian daripada cara untuk memperoleh dana bagi membayar hutangnya, kedai-kedai buku Borders mulai semalam mula mengadakan jualan menghabiskan stok yang menawarkan diskaun sehingga 40 peratus.
Hutang syarikat itu kepada para pengedar dan penerbit buku yang belum berbayar dianggarkan AS$180 juta (RM540 juta). Jika hutang itu tidak dilangsaikan, para pengedar dan penerbit pula mungkin gulung tikar.
Dunia ilmu dan penyebaran pemikiran sedang berhadapan dengan tekanan hebat daripada keruntuhan bisnes buku seperti yang sedang dilalui oleh Borders. Bisnes ilmu berada dalam krisis. Perlakuan pengguna sudah berubah. Tidak lagi seperti masa lalu, membaca bukan lagi dianggap perlakuan insan-insan yang berjaya.
Antara membeli satu kontena buku berharga RM3 juta dan membina rumah percutian bernilai RM3 juta di tanah tinggi, banyak orang akan memilih simbol kekayaan yang kedua.
Memburukkan lagi keadaan ialah trend baru berkaitan teknologi. Mengikut indeks kajian kesetiaan pengguna antarabangsa, divisyen buku elektronik Kindle yang dipelopori oleh Amazon.com kini memasarkan enam judul buku elektronik bagi setiap sepuluh buah buku fizikal yang dijual oleh gedung beli-belah Internet itu.
Ingatkah kita kepada apa yang berlaku dalam bisnes muzik apabila YouTube dan MP4 menewaskan CD, kaset dan katrij yang suatu ketika dulu pernah menghancurkan era piring hitam?
Tanpa sedar, buku yang menjadi sumber ilmu juga menjadi mangsa kepada pembaharuan teknologi. Lakulah sesuatu sebelum ia dikuburkan.